Friday, February 04, 2022

Cebisan Catatan

DULI PENGIRAN MUDA HASHIM

Raja Muda Hashim ialah seorang tokoh yang terkenal dalam sejarah Sarawak.  Nama penuh beliau, seperti yang ditulis dalam perjanjian 1841, ialah Duli Pengiran Muda Hashim ibn Sultan Muhamad Kanzul Alam yang memerintah Kesultanan Brunei dari tahun 1807 hingga 1826 sementara bonda beliau bernama Pengiran Anak Salama @ Salmah binti Pengiran Seri Rama. Isteri beliau pula bernama Pengiran Babu Norsalam binti Pengiran Shahbandar Ali Saifudin.

Memandangkan ketika itu Sultan Omar Ali Saifuddin II (1828-1852) masih belum dewasa, maka Duli Pengiran Muda Hashim telah memainkan peranan penting dalam pentadbiran Kesultanan Brunei mulai tahun 1828.

Tidak berapa lama selepas itu satu peristiwa penting telah meletus di Negeri Sarawak berupa satu pemberontakan yang dipimpin oleh Datu Patinggi Ali, seorang pemimpin bangsawan Melayu Sarawak keturunan Datu’ Marapati.  Pemberontakan ini merupakan bantahan penduduk ke atas tindakan Pengiran Indera Mahkota Muhamad Salleh yang telah dilantik sebagai wazir ataupun gabenor oleh Sultan Brunei kira-kira pada tahun 1820an.

Sehubungan itu, Duli Pengiran Raja Muda Hashim telah dititahkan oleh Sultan Omar Ali Saifuddin II berangkat ke Sarawak untuk menyelesaikan pemberontakan tersebut pada akhir tahun 1830an.  Bagaimanapun beliau tidak dapat membawa perdamaian.  Pada ketika itu muncul seorang pengembara Inggeris bernama James Brooke pada tahun 1839 yang kebetulan telah ditugaskan menyampaikan sepucuk surat daripada Gabenor Inggeris di Singapura kepada Duli Pengiran Muda Hashim.  Jika Kesultanan Brunei telah menyelamatkan pedagang Inggeris, maka beliau berharap pihak Inggeris dapat membantu menamatkan pemberontakan yang telah berlanjutan itu. Namun James Brooke ketika itu tidak berminat dan beliau meneruskan pelayarannya mengembara ke tempat lain di Kepulauan Melayu.

Setahun kemudian tiba-tiba James Brooke muncul lagi di Sarawak dan bertemu dengan Duli Pengiran Muda Hashim pada tahun 1840.  Pada kali ini James Brooke berminat pula memberikan bantuan apa bila ditawarkan jawatan Tuan Besar, seperti ditulis dalam perjanjian tersebut, bagi Negeri Sarawak jika berjaya menundukkan pemberontakan tersebut.  Setahun kemudian James Brooke telah berjaya dan pada tahun 1841 satu perjanjian telah dipersetujui oleh Duli Pengiran Muda Hashim.

 

Pada tahun 1844 beliau telah berangkat pulang ke bandar Kesultanan Brunei bersama keluarganya, termasuk adindanya, Pengiran Badarudin.  Dalam perebutan kuasa Duli Pengiran Muda Hashim telah mangkat pada tahun 1846.  Pengiran Badarudin telah berjaya menyelamatkan diri dan kemudian berjaya belayar ke Singapura.  Beliau kemudian telah menetap di negeri Pahang dan telah meninggalkan keluarga sebagai pewaris beliau sehingga sekarang.

 

 

Catalan:  Datu Dr. Hj. Sanib bin Hj. Said, 31 Jan 2022