Sarawak Sebelum Brunei dan Brooke: 5 Negeri Melayu Yang Hilang
Prof. Madya Datu Hj. Sanib bin Hj. Said
Felo Kanan Kursi Nusantara, Institut Pengajian
Asia Timur
Universiti
Malaysia Sarawak, Kota Samarahan, Sarawak
©Sanib bin Said 2011
Pengenalan
Sejak membaca
sumber bumiputera 36 tahun dahulu melihatkan ketegasan tentang kesejarahan negeri
bernama Sarawak, Samarahan, Sadong, Kalaka, Saribas, Brunei, Kutei dan negeri-negeri
lain sebelum 1400ES sentiasa berlegar dalam benak sehingga saat ini. Sifat kesejarahan Rankean itu masih menjadi
pegangan utama walaupun perubahan juga telah diterima, di samping terdapat
desakan pasca-modenisme pada masa sekarang.
Begitu lama pencarian the lost
kingdoms and tribes dan berlumba dengan masa[1]
tetapi penantian yang lama, seperti melihat sejarah secara longue duree, telah membawa hasil yang lumayan.
Dalam usaha
merekonstruksi naratif sejarah awal Malaysia berbagai masalah pensejarahan
pasti akan bangkit dengan lebih rumit.
Ini akan mencetuskan polemik seperti yang diidamkan oleh Arkib Negara
dalam merancang pembentangan ini.
Periode sejarah awal yang tandus dengan sumber primer dan sumber
sekunder yang terpisah oleh zaman
menyukarkan rekonstruksi sebuah naratif. Pembacaan dan analisis sumber yang
sedikit untuk mencari makna dari kaca mata masa dan ruang sekarang mungkin akan
melontarkan fakta dan pentafsiran yang mungkin bersifat speklutaif mengenai
kerajaan awal di ruang wilayah yang telah berubah menjadi beberapa
negara-bangsa yang diangan-angankan itu.
Justeru itu untuk membina naratif sejarah awal dalam sebuah ruang baharu
yang telah dicipta sebagai Sarawak telah menyempitkan dan menyukarkan, boleh
juga menyelewengkan, pemahaman masa silamnya.
Masa silam pra-sejarah telah mendapat perhatian para arkeologis lebih
awal dan hasil kajian mereka, khususnya di Gua Niah yang tersohor itu, telah
menemukan tengokrak Wanita Niah yang besar kemungkinan hidup 40,000ES. Kewujudan manusia pra-sejarah, selanjutnya
mungkin telah mengakibatkan kemunculan kerajaan-kerajaan awal sebuah pulau
besar yang dikenali sebagai Borneo oleh
dunia dan sebagai Kalimantan oleh Indonesia pada masa sekarang sedangkan
nama-nama ini tidak wujud pada masa silam.
Nama Borneo itu pula diambil sempena Kerajaan Brunei yang mengungguli
kerajaan-kerajaan lain seperti Sawaku, Samarahan, Saribas, Kalaka dan Malanau
yang sekarang dalam ruang negeri Sarawak sementara Silam, Sugut, Tungku dan
Kinabatangan sekarang dalam ruang Negeri Sabah.
Adalah penting juga untuk memasukkan ruang pulau-pulau dalam ruang
negara-bangsa Filipina sekarang.
Masa dan Ruang: Asia Tenggara dan the Malay Mediterranean
Mungkin ada
manfaatnya jika perbincangan mengenai sejarah awal negara-bangsa, Malaysia,
dimulakan dengan beberapa konsep sejarah supaya penghujahan dalam
merekonstruksi naratif masa silam ini menjadi jelas.[2] Pendekatan seperti ini difikirkan sesuai
bukan sahaja untuk sejarah awal Sarawak tetapi untuk sejarah nasional secara
umumnya yang menjadi matlamat perbincangan ini.
Suatu konsep asas sejarah yang mantap ialah time and space (masa dan ruang) di mana perubahan masa sering
menyebabkan perubahan ruang. Sejarawan
telah menggunakan konsep masa dengan mencipta periodisasi seperti dalam maksud
“zaman”; manakala konsep ruang pula sejarawan menamakan wilayah dengan nama dan
gelaran sama ada oleh penduduk bumiputera atau orang luar. Dalam konteks masa
sebelum 1400ES belum ada ruang dengan nama negara-bangsa Malaysia seperti yang
kita fahami sekarang yang dibentuk dalam acuan negara-bangsa Barat.[3] Oleh
yang demikian mungkin kurang manfaatnya dan kurang pemahaman yang boleh
diperolehi jika pendekatan seperti ini tidak diberi perhatian sewajarnya.
Pendekatan yang
sesuai dan difikirkan akan memberikan kefahamanan yang bermanfaat untuk masa
sekarang ialah melihat masa dan ruang tanpa sempadan negara-bangsa yang ada
sekarang (mungkin juga akan tiada pada masa depan). Sejarawan yang dianggap sarjana memperkenalkan
pendekatan ini ialah Fernand Braudel, seorang sejarawan aliran Annales dari Perancis, yang menjadi
terkenal kerana bukunya mengenai ruang Mediterranean dan ruang pesisir Lautan
Mediterranean sebelum didirikan berbagai negara-bangsa pada zaman moden.[4] Beliau menggunakan banyak konsep geografi
yang dipelajarinya semasa menjadi siswa untuk penyelidikan dalam bidang
sejarah. Di samping pengaruh geografi dan sebagai ahli aliran Annales yang merobah pendekatan
pengajian dan penyelidikan sejarah, akhir terkenal juga sebagai pemuka konsep total history is the only true history[5] dan
menolak pendekatan modenisme yang dijolok dengan gelaran Rankean.[6]
Pengikut
Fernand Braudel dalam sejarah Asia Tenggara telah cuba menggunakan konsep
beliau dengan melihat raung ini mempunyai persamaan dengan Mediterranean.[7] Sejarawan Australia, Anthony Reid adalah yang
pertama menggunakan pendekatan ini yang terkandungan dalam dua buah buku yang
mantap.[8] Beliau diikuti oleh sejarawan Perancis, Denys
Lombard[9];
K. Chaudhari dari India[10]
dan akhir sekali seorang sejarawan R. Wong pula mentafsir dari kaca mata China[11]
yang cuba memperkenalkan jolokan the
Chinese Mediterranean untuk Lautan China Selatan yang mengandungi
Arkipelago Melayu. Bagaimanapun persoalan lama mengenai masa dan
ruang sebagai kajian wilayah bernama Southeast
Asia (Asia Tenggara) sentiasa menghantui walaupun menggunakan panduan
Fernand Braudel. Anthony Reid sendiri
mengakui kerumitan menemui wilayah ini pada tahun 1993 apa bila menulis bab Introduction: A Time and A Place:
As a region, Southeast Asia is crucial to the
resolution of the dilemmas of early modern history. But is it a region at all? Unlike Western Europe, India, the Arab world,
China, or even ‘sinicized’ eastern Asia as a whole, it has no common high
religion, language, or classical culture ... and has never been part of a
single polity.[12]
Pada tahun 2005
beberapa orang sejarawan sejarah Asia Tenggara yang diundang khusus
membentangkan kertas kerja mereka dalam sebuah kolokium anjuran National
University of Singapore tetapi tidak disertai oleh sejarawan dari Malaysia,
Indonesia, Brunei dan Filipina. Sarjana
dari Thailand dan Vietnam menegaskan bahawa mereka tidak pernah memikirkan
kawasan atau negara-bangsa lain dan Asia Tenggara tidak wujud dalam rangka
pemikiran dan penyelidikan. Sementara
itu seorang sarjana muda Amerika menuduh Asia Tenggara sebagai area study di universiti di USA dan
Eropah adalah rekaan para sarjana sebagai periuk-nasi mereka.[13] Di antara sejarawan itu ialah Ruth McVey,
sarjana yang lebih tua dan dipandang tinggi, akhirnya merumuskan sehingga masa
sekarang mereka gagal lagi untuk menemukan Southeast
Asia yang telah direka oleh rakan sarjana mereka yang terdahulu:
“Having concluded this volume, readers may
well feel that instead of locating Southeast Asia they have discovered many
Southeast Asias – or none. Does this
stem from some characteristic of the region as a (non)entity, or from an
insufficiency in our understanding of place? .... Why then does it have an
unnerving tendency, on these pages, to dissolve.”[14]
Rumusan Anthony
Reid dan McVey itu memang betul tentang masa dan ruang Asia Tenggara yang cuba
menyatukan daratan dan pantai dan pulau di dua lautan besar yang mempunyai
perbezaan ketara. Yang ada persamaan
ialah di kalangan masyarakat daratan dan begitu juga di kalangan masyarakat di
pantai dan pulau-pulau. Masa dan ruang
di pesisir pantai dan pulau-pulau itu ialah zon sosio-politikal Melayu yang
telah lama digelar the Malay Archipelago, Nusantara dan Dunia Melayu. Dengan menggunakan takrif Anthony Reid
manusia di sini banyak persamaan
termasuklah unggul. Lynda Shaffer
merumuskan mungkin terlaku “Mediterranization” oleh tamadun China, India, Arab
dan Eropah. Mungkin juga boleh
dijolokkan gelaran “the Malay Mediterranean”.
Lynda Shaffer, sejarawan sejarah dunia, memberikan judul yang menarik
kepada bukunya yang kecil, Maritime
Southeast Asia to 1500 mencuba sesuatu yang lain termasuk tumpuan beliau
terhadap orang Melayu.[15]
Setelah
berkurun lamanya, kecelaruan dalam mencari masa dan ruang yang sesuai dan
difikirkan akan bermanfaat pada masa sekarang ialah kerana mereka buta akan
masyarakat yang utama di ruang ini.
Mereka ialah masyarakat Melayu pada ruang dan masa silam di mana
semuanya bangsa dan bahasa yang besar di mana sekarang di dalam negara-bangsa
masing-masing ironinya etnisme sangat runcing.
Pada masa sekarang ada orang Malaysia memikirkan dan mengangankan ruang
dan masa bangsa Melayu itu meliputi pesisir tanah negara-bangsa sekarang, iaitu
Vietnam, Kemboja, Siam dan seluruh pulau-pulau dalam Indonesa dan
Filipina. Alfred Wallace, berdasarkan
alam semula jadi termasuk manusianya memberikan nama The Malay Archipelago seperti judul bukunya yang terbit pada tahun
1869 mentakrifkan seperti ini:
“[I] consider the Malay Archipelago to include the
Malay Peninsula as far as Tenasserim, and the Nicobar Islands on the west, the
Philippines on the north, and the Solomon Islands beyond New Guinea, on the
east.” .[16]
Pada tahun 2004
pihak Arkib Negara Malaysia telah menjemput Profesor Leonard Andaya
membentangkan sebuah kertas kerja di mana beliau telah mengetengahkan beberapa
masalah untuk menrekonstruksi sejarah Malaysia.
Masalah yang releven dengan perbincangan kita pada hari ini ialah apa
yang beliau katanya:
“Using such a framework may be appropriate to
study to the study of modern Malaysian history; however, it is not only
inappropriate but even misleading for the study of pre-nineteenth century
history. Many of the present borders
continue to be porous, and the task of the historian is to identify where zones
of human interaction occurred in the past, and then to acquire the linguistic
and methodological skills to undertake the necessary research.”[17]
Sehubungan dengan itu masa dan ruang dalam sejarah awal Malaysia ialah
Arkipelago Melayu atau Kepulauan Melayu yang menjadi Dunia Melayu.
Dalam masa
silam yang menjadi zaman awal itu manusia Melayu yang menjadi penghuninya telah
berpindah-randah dan saling berhubung sehingga mementuk pelbagai jaringan
antara pulau Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Pulau Jawa, Borneo, Manila,
Sulu, Makassar dan banyak lagi dan mendirikan banyak negeri-kerajaan awal Melayu-Hinduisme-Buddhisme
dan kemudian negeri-kerajaan Melayu-Islam yang pernah bersatu dalam Empayar
Srivijaya, Empayar Majapahit dan Empayar Melaka di sebelah barat. Manakala di sebelah timur pula
negeri-kerajaan Melayu itu disatukan dalam Empayar Brunei dan Kesultanan
Sulu. Empayar-empayar yang patah tumbuh
hilang berganti; mereka muncul,
berkembang, runtuh dan pupus silih berganti untuk mencipta suatu rhythm in Malay history.[18] Irama ini diteruskan oleh dalam negara-bangsa
yang baru Malaysia dan Indonesia yang mewarisi sejarah awal Arkipelago Melayu.
Kerajaan Bo-ni (Brunei)
Negara-bangsa
Brunei yang wujud pada masa sekarang yang mempunyai sejarah yang panjang serta
berterusan mungkin sejak abad ke-9 lagi dan pernah berjaya membina empayar yang
besar yang meliputi pulau Lesung di utara dan keseluruhan bahagian utara dan
timur pulau Borneo. Mungkin boleh
dirumuskan bahawa Kerajaan Brunei awal merupakan entiti unggul di sebelah timur
zon politico-cultural Melayu. Kerajaan Brunei awal ini ditakdirkan terletak
tidak jauh dari Gua Niah yang telah diduduki manusia pra-sejarah 40,000ESS.[19] Walaupun terdapat pantang-larang untuk
bersepekulasi wujudnya sebarang kaitan masa dan ruang pra-sejarah Gua Niah
bersama Gadis Niah, tetapi mungkin dibolehkan sekadar menyebutnya sahaja supaya
kerajaan Brunei dalam sejarah awal bukan muncul di utara Borneo ini dalam masa
dan ruang silam yang kosong. Begitu juga
halnya dengan petempatan pra-sejarah lain di Palawan, Sabah dan Kalimantan. Malah spekulasi seperti ini diperkuatkan
bahawa negeri-kerajaan yang pasti lebih tua ialah Kutei, muncul pada sekitar
tahun 400ES, sebelum Srivijaya, betul-betul terletak di garis selatan dari Gua
Niah dan Brunei.
Historiografi
Brunei agak lumayan, termasuk periode kerajaan awal yang telah dikaji oleh
Donald Brown, Robert Nicholl, Awang Muhamad Jamil Al-Sufri dan juga Bilcher
Bala. Bagaimanapun adalah suatu yang
lumrah dalam usaha merekonstruksi periode awal di mana kekurangan sumber maka
banyak naratif terganggu dengan unsur spekulasi yang tebal dalam melakukan
pentafsiran terhadap fakta yang sangat terhad itu dalam sejarah awal Kerajaan
Brunei. Perbezaan pendapat sangat ketara
dalam naratif asal-usul di antara mereka.
Robert Nicholl mencadangkan bahawa berlaku perpindahan Kerjaan Kamrun atau
Ku-lun dari tanah daratan, sekarang mungkin di Kemboja dan Vietnam, ke Borneo
berdasarkan sumber China dan Arab.[20] Awang Muhamad Jamil Al-Sufri menceritakan
kemunculan seorang lelaki yang berkahwin dengan 14 orang wanita yang akhirnya
melahiran 14 orang saparadian
berlandaskan sumber tradisi lisan dan memberi nama negeri mereka “baru-nah”.[21] Bilcher Bala akur dan memetik tulisan Tom
Harrisson bahawa Brunei telah didirikan
oleh seorang Kelabit bernama Simaun yang menjadi raja pertama kerana terdapat
tradisi lisan mengatakan demikian dan kerana dalam bahasa Kelabit perkataan
“maun” bererti “tua” dan masyarakat Lun Bawang pula menamakan beliau sebagai
“Semaring”.[22] Bagaimanapun penduduk di Dunia Melayu,
termasuk di Borneo, dalam sejarah awal adalah berbangsa Melayu dan beragama
Hinduisme atau animisme dan apa bila agama Islam dianuti oleh semua kerajaan
maka sebilang besar Melayu dan Melayu yang tidak masuk Islam menjadi suku kaum
lain yang hanya pada abad ke-19 dilabelkan dengan berbagai nama, termasuk nama
umum Dayak.[23]
Saya mengetengahkan
pandangan mirip pendapat Awang Muhamad Jami Al-Sufri berlandaskan sumber
manuskrip Rangau dan Syair Awang Samacun
bukan sekadar sumber tradisi lisan.[24] Manuskrip Rangau menceritakan kehadiran
seorang lelaki itu di pantai Teluk Brunei sedangkan Syair Awang Samacun mengisahkan adventure 14 orang saparadian
yang akhirnya bersetuju membina sebuah negeri di kuala sungai itu yang
“baru-nah” berkenan di hati mereka. Yang
tertua di kalangan mereka ialah Awang Alak Betatar yang kemudian menjadi raja
pertama dan Awang Samacun ialah nombor dua yang menjadi panglima
yang terhandal sehingga dijadikan judul syair ini. Kegagahan Awang Samacun dan
peranan beliau sebagai panglima memungkinkan nama ini diambil dari manuskrip Hikayat Samacun yang disadur
dari sebuah cerita Arab mengenai kehebatan seorang panglima Nabi Muhammad
SAW. Hikayat ini agak terkenal di
Arkipelago Melayu dan terdapat juga versi dalam Bahasa Sunda di pulau Jawa.[25] Awang Samacun boleh juga dilihat
mempunyai perkataan Arab “macun” bererti “mendengar”.[26] Pembacaan yang teliti menunjukkan kesejarahan
syair ini mungkin meyakinkan apa bila laporan China tahun 977ES merakamkan
tentang pentadbiran Bo-ni,“[t]here are a total of fourteen prefectures
with small mountains.”[27] Persamaan
angka 14 saparadian dan fourteen perfectures sangat sempurna dan
menakjubkan sehingga keinginan untuk membuat spekulasi sukar dibendung bagi
memutuskan bahawa syair ini karya sejarah dan Brunei merupakan sebuah
negeri-kerajaan yang besar dengan mempunyai 14 buah kawasan takluknya. Laporan China pertama sekali sekadar mencatat
nama Bo-ni ialah pada tahun 860ES dan hanya dalam laporan tahun 977ES.[28] Laporan China ada menyebut beberapa orang
nama raja seperti Hiangta (977ES), Si-li-ma-je (1082ES), Ma-ho-mo-sa (1370ES),
Ma-na-je-ka-na (1408ES) dan Hsiawang (1408ES).
Di bahagian
awal silsilah raja-raja Brunei memberi gambaran pan-Melayu Brunei yang
merangkumi warisan dan pertalian erat dengan pusat Dunia Melayu. Ini adalah kerana “turun temurun yang mengambil
mengambil pesaka nobat negara genta calamat” dari negeri Johor dan
Minangkabau.[29] Di samping itu,
“Maka Sultan itu
dinuerahai oelh Yang Di Pertuan Johor nobat negara dan genta calamat
dan negeri lima buah, iaitu Kalaka’ dan negeri Saribas dan negeri Semarahan dan
negeri Serawak dan Mukah.”[30]
Pada tahun 1940
H. R. Hughes-Hallet dalam sebuah artikel turut menyatakan:
“according
to Javanese records a Javanese force expelled Sulu marauders from Brunei in
1368 and Brunei is mentioned as one of the countries conquered during the reign
of Angka Wijaya . . . .”[31]
Beliau tidak
menyebut sumber Jawa yang dirujuk, mungkin karya Prapanca, Negarakertagama di mana dicatatkan:
“Pupuh 14
Kandandangan,
Landa, Samadong dan Tirem tak terlupakan Sedu, Barune (ng), Kalka, Saludong,
Solot dan juga Pasir, Barito, Sawaku, Tabalung, ikut juga Tanjung Kutei
Malano tetap yang
terpenting di Pulau Tanjungpura”[32]
Santubong dan Negeri Sarawak
Kesejarahan Negeri Sarawak seperti
berada di depan mata. Sumber bumiputera,
arkeologi dan tarafnya yang sentiasa penting dalam merentasi semua masa dan
ruang sejarah silam hingga sekarang tetapi gagal dilihat dengan cepat. Selepas menemui semula Syair Tarsilah Cetera Dato’ Gudam dan Temenggong Abdul Kadir Negeri
Saribas pada tahun 2005 dan setelah mengkajinya beberapa tahun baharulah
mata hati terlihat Hikayat Datuk Merpati
yang telahpun diterbitkan sebagai karya sejarah mengenai Negeri Sarawak lama.[33]
Datuk Merpati dan saudaranya berasal dari sebuah gunung berapi di Pulau
Jawa dan mengembara ke Johor, Sukadana, Sambas dan Tanjung Datu. Pada suatu hari mereka membantu Datuk Kuli
dan Datuk Kuali yang terdampar di tanjung itu di mana mereka kemudian
mengundang Datuk Merpati pindah ke Sungai Sarawak. Bagaimanapun dalam perjalanan itu Datuk
Merpati mengubah fikiran:
Alkisah maka
tersebutlah cerita Datuk Merpati membuka negeri di Kuala Santubong. Tiada antara berapa lama sesudah dia diam di
situ, Datuk Permaisuri Kemala pun melahirkan seorang anak perempuan. Telah diberinya nama anak itu Dayang Seri
Bulan. Maka telah sukalah hati Datuk
Merpati kerana melihat anak perempuannya itu.
Merpati Jepang juga suka melihat adiknya. Bertambah sukalah ahli kaum kerabat di dalam
negeri itu.[34]
Pada suatu masa
Datuk Merpati dan Datuk Permaisuri Kemala telah menyelamatkan diri ke Brunei
kerana diserang oleh Pego. Di Brunei
Datuk Merpati bertemu dengan Samacun. Setelah diuji kekuatannya telah berjaya
panglima dan ditugaskan menjaga anak Datuk Merpati, Dayang Seri Bulan yang
kemudian berkahwin dengan Sultan Bungsu dari Selangor.[35]
Dalam pada itu anak lelaki Datuk Merpati, Merpati Jepang telah dewasa
dan mentadbir negeri Santubong ”beroleh pupu kebanyakan” dan pandai membawa
kaumnya.”[36]
Sejauh manakah kesejarahan Hikayat Datuk Merpati? Datuk Merpati yang dinukilkan berasal dari
Jawa mungkin juga melambangkan pengaruh
Majapahit di Sarawak seperti yang dibuktikan dalam Negarakertagama sebelum tahun 1365.
Nama Merpati mungkin korupsi Parpatih
dalam Datuk Parpatih nan Sabatang dalam
masyarakat di Dunia Melayu dan ”Merpatih” dalam masyarakat Minangkabau. Mungkin yang lebih dekat ialah nama tempat di
Jawa pada masa kejatuhan Majapahit dan kebangkitan Demak seperti dinyatakan, ”meletakkan Pangeran Benowo sebagai Raja
Jipang-panolan.”[37]
Salah sebuah
kawasan di dalam wilayah kebudayaan Sarawak yang terbukti pernah menjadi negeri
ialah di Kuala Sungai Sarawak yang besar yang dikenali sebagai Santubong. Malah
di sini merupakan kawasan pertama dilakukan kerja-kerja arkeologi bukan saja
dalam konteks Sarawak baru dan lama tetapi juga dalam konteks keseluruhan pulau
Borneo yang besar ini. Tanda-tanda
tentang peri pentingnya kawasan Santubong sebenar dicetuskan oleh penemuan
Nandi dan Yoni oleh James Brooke tidak lama setelah menjadi “raja” Sarawak,
sebelum berlakunya pemberontakan China pada tahun 1857.[38] Selain daripada jumpaan batu besar ini
James Brooke juga mengumpulkan artifak-artifak emas.[39] Penemuan artifak yang diperbuat dari emas
ini menunjukkan bahawa kawasan ini menarik perhatian orang asing, khususnya
orang dari India pada peringkat awal.
Mungkin oleh kerana adanya emas, bukan saja di lembah Sungai Sarawak
tetapi juga di bahagian barat-daya Borneo, kawasan yang terbanyak mengandungi
emas daripada tempat-tempat lain di kepulauan Melayu, telah dikaitkan dengan
nama-tempat Survanabhumi (Bumi Emas) oleh orang India dan juga sebagai Iabadiou
oleh Ptolemy pada c.150ES.
Penemuan awal ini telah memberi
perangsang kepada Muzium Sarawak untuk melakukan kajian arkeologi. Pada tahun
1949, di bawah pimpinan Tom Harrisson, telah berhasil mengumpulkan ribuan
pecahan tembikar China di Santubong.[40] Hasil dari kajian yang dilakukan ke atas tembikar
ini serta artifak-artifak keagamaan Hindu mereka berpendapat bahawa Santubong
sebagai politi sudah wujud sejak abad ke 7 lagi dan terus kekal hingga abad ke-10[41]
atau abad ke-14.[42] Di samping itu adanya tahi besi (iron-slag yang dianggarkan sebanyak
40,000 tan[43] menguatkan pendapat bahawa kawasan Santubong ini
merupakan kota-pelabuhan yang besar dan penting. Setelah dikaji oleh kedua orang pakar ini
mereka berpendapat bahawa industri ini wujud di antara tahun 900ES hingga 1350ES.[44] Bagaimanapun mengikut O.W. Wolters,
seorang sejarawan Asia Tenggara tua, China mungkin telah mengetahui tahi besi
ini sejak abad ke 3 lagi dengan mentafsirkan bahawa pulau Tan-lan yang disebut
dalam laporan China itu terletak di barat-daya Sarawak.[45] Jika tafsiran sejarawan terkenal ini
betul mungkin Tan-lan yang menghasilkan besi ini ialah Pulau Talang-Talang
tetapi ahli arkeologi, mahupun Muzium Sarawak tidak pernah mengaitkan pulau ini
dengan penemuan tahi besi di kawasan Santubong walaupun pulau ini tidaklah
begitu jauh dari tempat tersebut.[46]
Penemuan bahan-bahan arkeologi di
kawasan Santubong ini telah mencetuskan berbagai pentafsiran dan pendapat. Ahli-ahli arkeologi kecuali Jan Wisseman
Christie berpendapat bahawa kawasan ini sudah menjadi bandar-pelabuhan penting
sejak abad ke-7 hingga abad ke-14. Jan
Wisseman Christie sebaliknya berpendapat bahawa Santubong muncul pada akhir
abad ke-10 dan terus wujud hingga abad ke-14.[47] Tentang kepentingan dan peranan
kota-pelabuhan ini secara am dipersetujui oleh penyelidik-penyelidik dan
pentafsiran yang lebih jelas dan terbaru ialah dari Jan Wisseman Christie:
“Santubong is a complex of port sites in the Sarawak river
delta which rivals in site and richness found in the Muda and Merbok valleys of
Kedah. It is undoubtedly the remains of
the port-capital of the state of Po-ni … The port was evidently founded in this
region in the later tenth century, when it comprised only of one residential
site, Sungei Jaong, and an associated burial ground nearby at Tanjong Kubor.”[48]
Selepas itu terdapat pula pusat petempatan lain di sekitar Santubong
seperti di Bongkissam. Bagaimanapun
politi-politi ini kemudian dikuasai oleh Santubong yang menjadi sebuah negeri
di kawasan ini.
Dari kajian yang dilakukan ke atas
ribuan serpihan tembikar China negeri Santubong ini terus wujud hingga ke abad
ke 14.[49] Pendapat ini dikuatkan lagi dengan tulisan China Nan-hai-chih yang menyenaraikan
kerajaan-kerajaan tua di Borneo pada tahun 1304.[50] Pada masa ini Brunei yang ditulis oleh
China sebagai Tung-yang Fo-ni jelas sekali menguasai keseluruhan utara
Borneo. Di antara politi-politi yang
berada di bawahnya dan yang terkandung di dalam wilayah kebudayaan Sarawak
ialah Sha-hu-chung.[51] Carrie Brown mentafsirkan bahawa Sha-hu-chung ini
mungkin Saludung yang terletak di pantai timur Borneo.[52] Bagaimanapun penulis ini berpendapat
bahawa dari segi urutan tempat-tempat yang dikuasai oleh Po-ni. Ini lebih sesuai ianya merujuk kepada
Santubong, di samping itu Saludung sehingga kini tidak mempunyai bahan
arkeologi seperti yang terdapat di Santubong. Sha hu chung dalam Mandarin, bahasa rasmi dan tulisan orang China,
bererti ”lautan batu karang” dan adalah tidak betul jika sebutannya diubah
kepada san choo bong, sebutan Melayu
dalam dialek Hakka yang bererti ”king of
wild pig”.[53]
Sumber Jawa, Negarakartagama[54] yang ditulis pada tahun 1365 menunjukkan
bahawa Brunei (Bo-ni) telah dikuasai pula oleh Majapahit. Permulaan perluasan Majapahit ini dipercayai
berlaku pada tahun 1350[55] dan ini menyebabkan perdagangan dengan China di
Santubong terhenti seperti yang terbukti dengan tembikar-tembikar yang dijumpai
tidak menunjukkan tembikar Ming.[56] Santubong sebagai nama politi juga turut hilang
dan digantikan oleh nama baru, iaitu Sawaku (Sarawak) di dalam Negarakartagama.[57] Kehadiran Majapahit mungkin telah
menyebabkan perpindahan penduduk[58] negeri Santubong ini kepada politi-politi lain
seperti Sadong dan Gedong.
Negeri Samarahan dan Sadong
Adanya penemuan tembikar China abad
ke 14 dan 15 di dua buah tempat di lembah Sungai Sadong menunjukkan terdapatnya
kesinambungan politi di pantai dengan yang wujud di pendalaman. Gedong yang terletak 40 batu dari Santubong
dan 56 batu dari pantai. Di sini
terjumpa 79,754 pecahan tembikar dan ratus benda lain seperti manik, duit
siling dan emas.[59] Lucas Chin mencadangkan bahawa Gedong ini
merupakan tempat perkuburan tetapi tanpa menemui sebarang tulang manusia. Terdapatnya pecahan tembikar dan benda-benda lain
dengan begitu banyak besar kemungkinan Gedong ini merupakan politi yang agak
besar. Kajian yang dilakukan oleh Lucas
Chin menunjukkan bahawa jika Gedong merupakan sebuah politi maka ia wujud dari
abad ke-7 hingga ke-13[60], iaitu sezaman dengan Santubong.
Limabelas batu ke pendalaman Gedong
terdapat sebuah lagi politi di Bukit Sandong.[61] Di sini terdapat 30,000 serpihan tembikar
yang mempunyai asal dan ketuaan seperti yang terdapat di Santubong dan Gedong. Selain daripada itu yang membezakannya dengan
tempat-tempat tadi ialah adanya 143 serpihan tembikar Sawankhalok. Mengikut Lucas Chin serpihan
Sawankhalok dan ”blue and white sherds”
ini ditarikhkan pada abad ke-16 dan ke-17.
Walaupun sukar untuk menyatakan adanya perpindahan dari politi-politi
yang awal ke Bukit Sandong tetapi ia jelas menunjukkan kesinambungan politi
Sarawak. Dan walaupun politi Gedong dan
Bukit Sandong ini tidak tercatat dalam tulisan-tulisan China dan Jawa, namun
kewujudannya juga tidak dapat dinafikan.
Lucas Chin menyimpulkan,
“What is also considered
significant is that with such large quantities of ceramic wares excavated at
such inland sites at Gedong and Bukit Sandong, it indicates that trade was not
necessarily confined to the coast as previously believed. Trading boats could have sailed as far inland
as possible for trade.”[62]
Negeri Kalaka
Lembah
Sungai Kalaka, tidak jauh dari lembah Sungai Sadong, hanya 10 batu di sebelah
timur Santubong, merupakan juga tempat wujudnya politi tua di Sarawak. Terletak
di kuala Sungai Kalaka dan muara Batang Saribas ialah sebuah negeri bernama
Kabong. Mengikut Lucas Chin terdapat
tembikar yang masih bulat yang diambil oleh orang ramai dan tidak sempat
diambil oleh pihak Muzium Sarawak.[63] Nanga Kalaka lebih bernasib baik kerana di sana
ditemui 9,469 serpihan tembikar China termasuk jenis Sawankhalok dan “blue and white ware”.[64] Kajian menunjukkan bahawa tembikar ini
adalah tembikar abad ke-16 dan 17.
Sebuah lagi tempat di lembah ini ialah Tebing Tinggi. Di sini terdapat 41,762 serpihan tembikar
termasuk jenis Sawankhalok jenis abad ke-16 dan 17.[65] Daripada abad tembikar dibuat ini
nampaknya politi di lembah Sungai Kalaka ini tidak begitu tua seperti yang
terdapat di Santubong dan lembah Sungai Sadong.
Bagaimanapun ini tidak memberi maklumat yang lengkap kerana tembikar di
Kabong tidak berjaya dikaji. Besar
kemungkinan tembikar di Kabong ini bertarikh lebih awal kerana Negarakartagama yang dikarang pada tahun
1365 ada mencatatkan Kalka sebagai salah sebuah jajahan Majapahit.[66] Di
samping itu Kalaka juga sebut sebagai sebuah negeri yang dianugerahkan kepada
Kerajaan Brunei oleh Johor seperti yang dinukilkan dalam silsilah raja-raja
Brunei serta mendapat keutamaan dalam Kerajaan Brunei.
Syair
Tarsilah Cetera Dato’ Gudam dan Temenggong Kadir Negeri Saribas, judul
pendek mungkin Syair Tarsilah Negeri
Saribas, mengandungi episod. Syiar
ini menyebut Kalaka sebagai sebuah negeri yang diperintah oleh dua orang wanita
adik-beradik.
Terhenti dulu
kisah itu
Tersebutlah pula
habar suatu
Di Negeri Kalaka’
habarnya tentu
Dayang Hubu’
Dayangnya Ruku[67]
Negeri Saribas
Negeri Saribas sebenar berkongsi
muara Batang Saribas dengan ibu kota Negeri Kalaka yang besar itu sedangkan
pusatnya banyak di sekitar pertemuan Batang Saribas dengan Sungai Rimbas di
sebelah hulu menghampiri pertengahan hutan belantara.disebut di dalam silsilah
raja-raja Brunei dan mendapat tempat yang banyak juga dalam manuskrip tersebut. Negarakertagama
tidak ada mencatatkan nama Negeri Saribas pada abad ke-14 berbanding dengan
jirannya, Negeri Kalaka. Ini mungkin
disebabkan Negeri Saribas didirikan pada awal atau pertengahan abad ke-17. Syair
Tarsilah Negeri Saribas meriwayatkan pelarian Pengiran Temenggong Abdul
Kadir dari ibu kota Kerajaan Brunei di utara kerana anak gadisnya, Dang Chi’
yang rupawan, telah diambil oleh sultan.
Setelah sampai di muara Batang Saribas beliau telah mendirikan sebuah
negeri dengan ibu kotanya di Tandang Sari di tebing Sungai Rimbas. Kemudian muncul pula seorang anak raja
Pagaruyung, dikenali di Saribas dan Brunei sebagai Dato’ Gudam, dari Sumatera
yang juga merantau membawa diri kerana gagal dalam ujian naik tahta sambil
berdagang. Pada suatu hari Dato’ Gudam
berlabuh di Tandang Sari dan bertemu dengan Pengiran Temenggong Abdul Kadir dan
isterinya yang masih merindui anak gadis mereka. Pengiran Temenggong Abdul Kadir berjaya
memujuk Dato’ Gudam untuk mengambil dan membawa pulang Dang Chi’ keluar dari
istana. Beliau berjaya dan atas jasa itu
telah dikahwinkan dan Dato’ Gudam kemudian memegang teraju pemerintahan Negeri
Saribas yang menurunkan waris kepada keturunan Abang dan memegang
jawatan-gelaran Datu Patinggi, Datu Bandar, Aulaksamana, Datu Imam dan Datu
Hakim di lembah Batang Saribas.
Kesejarahan boleh dilihat dalam beberapa segi seperti kewujudan sebuah
tempat Gudam di Tanah Datar Minangkabau di mana istana Kerajaan Pagaruyung yang
pertama adalah di Gudam di samping bererti istana
dalam Sanskrit. Stamford Raffles,
setahun sebelum mengambil Singapura, telah melawat Gudam untuk berjumpa Raja
Pagaruyung pada tahun 1818. Keturunan
Dato’ Gudam masih ingat samar-samar tentang penubuhan negeri ini, tetapi mereka
ingat tentang keturunan yang memegang jawatan-gelaran seperti juga yang dicatat
dalam silsislah raja-raja Brunei.
Pengisahan seorang bernama Aulaksamana terdapat juga dalam karya Charles
Brooke di mana beliau merakamkan bahawu laksamana ini pada tahun 1860 berusia
90 tahun.[68]
Kuala Rajang dan Bintulu
Di samping itu sebuah lagi politi
yang mungkin terletak di Kuala Sungai Rejang, sungai selepas Sungai Kalaka,
bernama Malano.[69] Di kuala sungai ini juga seorang sejarawan
terkenal, J.L. Moens berpendapat kerajaan Melayu awal, Srivijaya dipercayai
berpusat.[70] Setakat ini belum dijumpai benda-benda arkeologi
di kuala Sungai Rejang. Nan-hai-chih ada menyebut Achen (Igan)
Wentuling (Bintulu).[71]
Kewujudan politi-politi awal di
wilayah kebudayaan Sarawak versus wilayah kebudayaan Brunei sukar untuk ditolak
dan dipisahkan daripada masa silam Sarawak Lama ataupun Sarawak Baru. Penemuan benda-benda arkeologi di tiga lembah
merupakan bukti kuat tentang kewujudan politi-politi Sarawak dan bukan
Brunei. Sumber-sumber bertulis dari
China dan Jawa menguatkan lagi politi-politi ini walaupun pada suatu ketika
mereka jatuh di bawah ketuanan Brunei (Bo-ni) dan Majapahit. Keraguan yang timbul setakat ini adalah
mengenai politi di kuala Sungai Rejang.
Sumber bertulis yang telah disebutkan di atas mencatatkan beberapa buah
politi tetapi artifak-artifak arkeologi belum lagi ditemui.[72] Bagaimanapun ketuaan politi-politi
Sarawak ini tidak dapat dinafikan sebagai sebahagian daripada masa silam
Sarawak Lama dan Baru.
Perkembangan Terkemudian
Politi-politi tua Sarawak tidak lenyap ditelan zaman
seperti yang digambarkan oleh ketiadaan benda-benda arkeologi. Penyelidikan arkeologi dan sumber-sumber
China dan Jawa hanya dapat membuktikan kewujudan politi-politi ini dari abad ke
7 hingga ke 14. Bagaimanapun
sumber-sumber lain sedikit sebanyak memberi maklumat untuk menunjukkan
kesinambungan dan kepentingan politi-politi ini. De Barros yang menulis pada tahun 1530
mencatatkan kepentingan kota-pelabuhan Sarawak:
“In Borneo, Lave, Tanjapura, Cerava, the principal ports of
this island there are many wealthy merchants who trade to Malacca, Sumatra,
Siam, China and other ports, to which they export diamonds, camphor, agala wood
…. “[73]
Petikan ini
jelas menunjukkan bahawa nama Santubong telah tidak digunakan lagi dan
digantikan oleh Sarawak. Lebih penting
lagi Sarawak pada masa itu dengan jelas dibezakan dengan Brunei yang ditulis
sebagai Borneo dan jika tidak Brunei tidak disebut langsung sebagai pelabuhan
penting. Peta-peta Eropah abad ke-16 dan 17 menamakan Sarawak (bukan Kuching)
sebagai Cereua (1537) dan Cereuwa (1550); Belanos (Melano), Sedang (Sadong),
Calca (Kalaka) dan River de Burulu (Bintulu).[74]
Kepentingan Sarawak pada abad ke-16 juga boleh dilihat dari cadangan raja
Brunei, Sultan Saiful Rijal untuk pindah ke Sarawak setelah Sepanyol menduduki
bandar Brunei pada tahun 1578.[75]
Silsilah
Raja-Raja Brunei[76]
yang ditulis pada abad ke-17 mengandungi banyak maklumat mengenai pentadbiran
kesultanan ini di wilayah kebudayaan Sarawak seolah-olah wilayah ini mempunyai
tempat yang sangat penting. Manuskrip B
pula menunjukkan kedudukan wilayah kebudayaan Sarawak sebagai istimewa kerana
ia merupakan anugerah daripada Kesultanan Johor dan bukan diserang dan dijajah
oleh Brunei:
“Maka sultan itu
dianugerahi oleh Yang Di Pertuan Johor nobat negara dan genta alamat negeri
lima buah, iaitu negeri Kalaka dan negeri Saribas dan negeri Semarahan dan
negeri Serawak dan Mukah."[77]
Jelas kepada
kita bahawa yang disebut negeri di sini tidak banyak berbeza dengan wilayah
kebudayaan Sarawak yang cuba dicadangkan oleh kertas kerja ini. Manuskrip A tidak ada mengandungi ayat ini dan
oleh yang demikian timbul suatu persoalan sama ada penyalin Manuskrip B ini
berat sebelah kerana beliau berasal dari Sarawak, namanya Haj Abdul Gaffar bin
Abdul Mumin Serawak.[78]
Bagaimanapun kedua-dua manuskrip ini tetap memberikan maklumat yang terperinci
mengenai pentadbiran di tempat-tempat yang dinyatakan.
Keistimewaan negeri-negeri ini,
khususnya Sarawak terserlah lagi apabila raja Brunei, Sultan Muhuiddin telah
menganugerahkan Sarawak (lama) ini kepada adindanya Raja Tengah untuk dijadikan
negeri dan beliau sendiri menjadi raja kerana Raja Tengah sentiasa menggugat
kedudukan sultan.
“Maka tiadalah dipanjangkan riwayatnya
lagi, telah itu dipanggillah oleh Sultan Muhiuddin Raja Tengah itu. Bagindapun lalu mengeluarkan titah kepada
saudaranya Raja Tengah, katanya, “Ya adinda sekarang sudah nasib kakanda di
dalam Berunai jadi demikian ini. Akan
adinda pun pada pikiran kakaanda jadikan raja di dalam negeri Sarawak sebab pun
sama2 juga kita anak Marhum. …. Maka
telah selesailah sudah bermeshuarat apa2 yang dimemuafakatan, maka Raja Tengah
pun suroh oleh baginda Sultan Muihiuddin berangkat ke Sarawak berserta
diberinya rayaat banyaknya seribu orang akan kawannya Raja Tengah. Kemudian telah sampailah Raja Tengah di
Serawak, maka raja pun menitahkan segala rayat sekalian itu melainkan semuanya
dengan kerana tiada berhenti lagi hingga sudah istana dan kota dan kampong dan
mana sahaja kehendak Raja Tengah semuanya dikerjakan oranglah … “[79]
Tidak lama
selepas Raja Tengah tidak lama selepas itu telah belayar ke Johor dan dalam
pelayaran pulang singgah di Matan dan di mana baginda diangkat menjadi sultan
Sambas.[80]
Pada awal abad ke-17 terdapat
juga sumber-sumber mengenai beberapa politi-politi Sarawak. Blommart pernah melaporkan bahawa “Sadong were one of the best place for trade
comparable to Lauwe.”57 Laporan Belanda bertarikh 1609 satu
pemberontakan menentang Kesultanan Brunei:
“1609. News received (in Bantam) that the tribes
north of Sambas, living in Calca, Saribas and Melanoege had defected from the
king of Borneo and united themselves with the King of DJohor.”[81]
Kalaka terus
menjadi politi penting sehingga abad ke 19 walaupun dijajah oleh Kesultanan
Brunei. Seorang pegawai Inggeris bernama
John Hunt yang pernah melawatnya pada tahun 1812 menulis:
“
… it is the principal port of trade south
of the capital, and the mart of Sadong country:
here much grain is produced, one hundred pikuls of black birds’ nest,
two hundred pikuls of wax, some gold, pepper, camphor, but the tin mines,
before mentioned, are utterly neglected.” [82]
R. Logan yang
menulis pada awal abad yang sama mengatakan bahawa Kalaka juga menjual mutiara.[83]
Rumusan
Sejak abad ke-7
sudah muncul beberapa negeri-negeri kota-pelabuhan di dalam apa yang
dicadangkan sebagai kawasan kebudayaan Sarawak. Negeri-negeri ini terus wujud dan penting
walaupun pernah dijajah oleh Brunei dan Majapahit. Penjajahan Brunei yang begitu lama tidak
boleh dinafikan tetapi pengaruh Brunei itu tidak merobah kesemua aspek
kehidupan dan tidak juga menjadi sebahagian daripada kebudayaan Brunei. Negeri ini tetap menjadi politi yang
tersendiri dan mempunyai aspirasi tersendiri walaupun memancarkan ketamadunan
Melayu dalam keupayaan mendirikan negeri dan mentadbir negeri mengikut panduan
kitab-kitab Melayu utama seperti Tajul
al-Muluk dan Taj al-Salatin sehigga
memungkinkan wujudnya the Malay
Mediterranean.
* *
* * * *
[1] Sanib Said, “In Search of Lost Tribes and
Manuscripts: Archival Research in
Sarawak”, Sarawak Gazette, Kuching,
Sarawak,1993 dan “The Race Against Time and Space: Oral History in Sarawak”, International
Conference on Oral History, Arkib Negara Malayisa, Kuala Lumpur,1993.
[2]
Saya telah cuba mengetengahkan pendekatan seperti ini, lihat Sanib Said, “Early Port-Cities of Sarawak: Formation of Sarawak’s Polity”, Borneo
Research Council Conference, Kuching, Sarawak, 1993; “The
History of Sarawak: Where Do We Begin?, Sarawak Museum Journal, 1999, hal. 211-255; “Pensejarahan Sarawak: Memperbaharui Makna Lama”, Seminar Sejarah Sarawak, anjuran Persatuan Sejarah Malaysia
Cawangan Sarawak, Kuching, September 2006.
Prof. Abdul Halim Ali yang mengesan saya telah menggunakan konsep
seperti cultural zones yang
diperkenalkan oleh Fernand Braudel yang saya pelajari semasa mengambil kursus
teori dan sejarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 1976, sekadar sebagai
rekod untuk sumber rujukan.
[3]
Sejarawan memahami konsep negara-bangsa berlainan dengan apa yang fahami oleh
saintis politik dan saintis sosial.
Sejarawan mengaitkan konsep ini dengan sejarah nasionalisme di Eropah,
contohnya lihat Hans Kohn, Craig J. Calhoun,The
idea of nationalism: a study in its origins and background Edition 60,
reprint,Transaction Publishers, 2005; E.
Kedourie, Nationalism, Wiley
Blackwell, London,1993 dan Anthony H. Birch,
The concepts and theories of
modern democracy, Taylor and Francis, 2007. Natio dari perkataan Latin bererti "that which has been born", lahir berdarah seseuatu race dan sememangnya diterjemahkan
sebagai “bangsa” seperti konsep “negara-bangsa”, negara adalah “ruang” dan
bangsa adalah “penduduk sedarah”.
Perbezaan ini boleh dilihat di Malaysia, contohnya, J. Ongkili, Nation-building in Malaysia, 1946-1974,
Oxford University Press, 1985; Noraini
Othman et al, Sharing the Nation, SRID, Petaling Jaya, 2008 dan Lee Kam Hin et al (Ed.), The Chinese in Malaysia and Nation-Building, Oxford University
Press, 2000.
[4] F. Braudel & S. Reynolds. 1975.
The Mediterranean and the Mediterranean
world in the age of Philip II. 2 vols.
London: Fontana.
[5] F.
Braudel, The Identity of France: People
and Production, vol. 1, HarperPerrenial, University of Michigan, USA, 1992,
hal. 17.
[6]
Jolokan ini adalah sempena nama sejarawan Leopold vo Ranke, bapa aliran
modenisme, yang sangat berpengaruh semenjak abad ke-19 lagi. Contohnya lihat K. Jenkins, Re-thinking history, Routeledge, London,
2003; B. Southgate, What is History For?,
Routeledge, n.d.
[7]
Lihat H. Sutherland, “Southeast Asian History and the Mediterranean Analogy”, Journal
of Southeast Asian Studies, 34
(1), pp 1-20 February 2003, hal. 1-20.
Beliau memberi rumusan dan ulasan mengenai penggunaan konsep ini dalam
historiografi sejarah Asia Tenggara.
[8] A.
Reid, Southeast Asia in the Age of
Commerce, 1450-1660, 2 Jilid, Yale University Press, USA,1990
[9]
Denys Lombard, Le carrefour javanais, École des Hautes Études en Sciences
Sociales, 1990 disebut dalam H. Sutherland, op cit., hl. 13. Telah diterjemah
ke Bahasa Indonesia dengan judul, Silang
Budaya Jawa, 3 Jilid, Gramedia Pustaka Utama, Jakarta, 1996.
[10]
K. H. Chaudhuri, Trade and civilisation in the Indian Ocean: An economic
history from the rise of Islam to 1750 , Cambridge: Cambridge University
Press, 1985, disebut dalam H. Sutherland, op cit. hal. 3.
[11]
R. Wong, “Entre monde et nation. Les régions braudéliennes en Asie”, disebut
dalam H. Sutherland, op cit., hal. 14.
[12]
A. Reid (Ed.), 1993, Southeast Asia in the Early Modern Era, Cornell
Uni. Press, Itahca, USA, hal. 3.
[13]
Paul H.
Kratoska, Remco Raben,
Henk Schulte
Nordholt (E.), Locating
Southeast Asia: geographies of knowledge and politics of space, Issue 111 of
Southeast Asia series, Ohio RIS Southeast Asia Series, Singapore
University Press, 2005.
[14] Ruth
T. McVey, “Afterword: In Praise of the
Coelacanth’ Cousin”, dalam P. Kratoska, Ibid., hal. 308.
[15] Lynda
N. Shaffer (1996), Maritime Southeast Asia to 1500, M.E. Sharpe, New
York, hal. 12.
[16]
Alfred R. Wallace, 1869, The Malay Archipelago, Periplus Edition (2008),
Singapore, hal.?.
[17]
L. Andaya, Border crossing the borders of Malaysian History dalam Malaysian History from Dutch Sources,
Arkib Negara Malaysia, 2005.
[18] Wolters, O. W. 1970. The fall of
Śrīvijaya in Malay history. Cornell University Press. hal. 39-41.
[19]
ESS, singkatan untuk Era Sebelum Sekarang, ialah terjemahan dari BCE, singkatan
untuk Before Current Era, yang kini telah diterima umum bagi menggantikan
pentarikhan AD (Anno Domini) dan BC (Before Christ) dalam usaha mengelakkan
kecondongan agama.
[21]
Awang Muhamad Jamil Al-Sufri, Catatan
Perwira
[22]
Komunikasi dengan sahabat Lun Bawang dan Kelabit di Lawas, daerah sendiri. Lihat Bilcher Bala, Thalassocracy: A history of the
medieval Sultanate of Brunei Darussalam, School of Social Sciences,
Universiti Sabah, Kota Kinabalu, 2005, hal. 67.
[23]
Di Borneo, khususnya Sarawak, apa bila disoal siapa Melayu, dijawab “Dayak
masuk Islam”. Dari segi sejarah ini
mungkin tidak tepat; soalan yang salah.
Sebaliknya ditanya siapa Dayak dan dijawab “Melayu yang tidak masuk
Islam”, kerana pada sejarah awal semua adalah Melayu dan semua Hindu dan belum
masuk Islam.
[24]
Sanib Said, Introduction: A Survey of
Works on Malay-Jawi Manuscripts in the Eastern Malay Archipelago, dalam The
Sarawak Museum, Malay Historical Writings,
Sarawak Museum, Kuching, 2005, hal. 1-12.
[25]
Saya telah menjalankan penyelidikan manuskrip Melayu di Sarawak dan telah
membuat ulasan mengenai perkara ini, sila lihat, Ibid. Juga lihat
[26]
Lihat kamus Arab.
[27] Johannes
L. Kurz, Boni in Chinese Sources:
Translation of Relevant Texts form the Song to the Qing Dynasties, Working
Paper No. 4, Institute of Southeast Asian Studies (Singapore: Institute of
Southeast Asian Studies, July 2011).
[28]
Ibid.
[29] Amin
Sweeney, Text B;. Lihat juga H. R.
Hughes, “A Sketch of the History of Brunei” in Cheah Boon Kheng (E.), Papers Relating to Brunei, JMBRAS, Kuala
Lumpur, 1998, hal. 29. Lima buah negeri
yang disebut ialah Kalaka, Saribas, Sadong, Semarahan dan Sarawak. Susunan nama negeri dilihat dari ibu kota
Brunei di sebelah timur.
[30]
Ibid. hal. 97.
[31] Ibid.,
hal. 29.
[33]
Mohammad Tahir bin Abdul Ghani, Haji, Hikayat
Datuk Merpati, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989.
[34]
Ibid., hal. 76.
[35]
Ibid., hal. 88-89.
[36]
Ibid., hal.96.
[37] Widji Saksono, Mengislamkan Tanah Jawa Telaah atas Metode Dakwah Walisongo,
Penerbit Mizan, Bandung, 1996.
[38] Tom Harrisson, “Gold and
Indian Influences in West Borneo”, JMBRAS,
XXII, Pt. 4, 1949, hal. 34.
[40] T.
Harrisson and Carla Zainie, “Early Chinese Stonewares Excavated in Sarawak,
1947 – 1967: A Suggested First Basic
Classification”, SMJ, XV, hal.
30; Lucas Chin, “Trade Pottery
Discovered in Sarawak from 1948 – 1969”, XXV, 1975, 1-7, with R. Nyandoh, “A
Progress Report on Archaeological Work at Gedong”, SMJ, XVII, 1969, hal. 80-88.
[41] W.G.
Solheim, “The Prehistoric Earthenware Pottery of Tanjong Kubor, Santubong”, SMJ, XII, 1965, hal. 3.
[42]
Carla Zainie dan T. Harrisson, Ibid.
[43]
T. Harrisson dan S.J. O’Oconner Jr., “The Prehistoric Iron Industry in the
Sarawak River Delta: Evidence by Association”,
SMJ, XVI, 1968, hal. 3.
[44]
Ibid.
[45]
O.W. Wolters, The Fall of Srivijaya in
Malay History, OUP, London, hal. 35, nk. 3.
[46]
Adalah dicadangkan bahawa Muzium Sarawak meluaskan aktivitinya di Pulau
Talang-Talang ini, selain daripada menjaga penyu, kepada aktiviti arkeologi.
[48]
Ibid.
[49]
Tom Harrisson, ibid., Lucas Chin, ibid., W.G. Solheim, ibid.
[50]
Carrie Brown, “The Eastern Ocean in the Yung-lo Ta-Tien”, BMJ, IV, 1978, hal. 46 – 58.
[51]
Ibid., hal. 50.
[52]
Ibid.
[54] Th. Pigeaud, Java
in the Fourteenth Century: A Study in
Cultural History, The Hague, IV, 1960 – 63, hal. 29 – 35.
[55] Robert Nicholl, op cit
[56] T. Harrisson, ibid.
[57] T. Pigeaud, ibid.
[58] O.W. Wolters, opcit., hal. 190.
[59] Lucas Chin, “Trade Pottery Discovered in Sarawak from
1948 to 1978”, op cit., hal. 4.
[64]
Ibid.
[67]
Syair ini telah ditemui semula pada tahun 2005 melalui dua versi salinan yang
sedang dikaji untuk keperluan pasca-siswazah.
[68]
C. Brooke, Ten Years, 2 vol, OUP
Reprint, hal. 156.
[69] Keraguan di sini timbul mengenai lokasi
Malano kerana ia juga mungkin di Tg. Melano jauh di sebelah barat Sungai Rejang. Ia juga mungkin bukan merujuk kepada suku
kaum yang kita kenali sekarang, tetapi nama tempat.
[72] Sejauh yang saya ketahui belum ada pihak
yang cuba membuat kajian arkeologi di kawasan ini, termasuk pihak Muzium
Sarawak, lihat Lucas Chin, op cit.
[73] Dipetik
oleh R. Logan, “Notices of European Inter-course with Borneo”.
[74]
R. Nicholl, European Sources for the
History of Brunei in the Sixteenth Century, Brunei Museum, 1975, hal. 23.
[75]
Translitrasi oleh P.L. Amin Sweeney dalam JMBRAS,
xxxxi, 1968, hal. 52.
[76]
Ibid.
[79] P.L.Amin
Sweeney, op cit., hal. 65 – 66.
[80]
Kisah Raja Tengah, raja Sarawak, boleh juga dirujuk dalam silsilah Raja-Raja
Sambas, lihat E. Kratz, “Silsilah Raja-Raja Sambas As A Source of History”, Archipel, 20, 1980, hal. 258.
[81]
Laporan Valentyn, Oud en Niew Oost Indie
dan diterjemahkan dalam S.A. Dovey, Valentjn’s Borneo”, BMJ, IV, 1978, hal. 85.
Lihat juga R. Logan, op cit. dan Jamil Umar, Chatatan Sejarah Perwira2 dan Pembesar2 Brunei, DBP, Brunei, 1973,
hal. 28.
[82]
J. Hunt, “A Sketch of Borneo or Pulo Kalimantan”, hal. 57.
No comments:
Post a Comment