Tuesday, April 24, 2007

Sejarah Melayu

Pensejarahan Melayu: Memperbaharui Makna Lamaª

Sanib bin Said




‘Tong raised his eyebrows. "Really?
They never told us that in the history books.
Are you sure?”’[1]



Pengenalan
Pensejarahan ialah istilah yang dicipta untuk erti yang sama dengan istilah Inggeris historiography. Erti istilah ini ialah satu bidang kajian mengenai karya-karya sejarah dan membuat penilain yang kritis berlandaskan teori-teori dan ide-ide sejarah. Memandangkan sejarah ialah ilmu yang cuba mengkaji tindak-tanduk manusia pada masa silam yang bergantung pada sumber fakta yang tidak pernah lengkap, maka pengkaji terpaksa menggunakan teori-teori tertentu, spekulasi, andaian dan tafsiran. Dengan menggunakan semua ini pengkaji akan terpengaruh dengan pendekatannya dan perasaannya. Apabila ini berlaku maka karya sejarahnya akan dinilai sama ada objektif atau subjektif, benar atau palsu, atau unsur bias dan mempunyai centricism tertentu.
Bagaimanapun tiada seorangpun sejarawan yang boleh objektif dan maha adil kerana setiap insan membesar dan dididik dengan berbagai pengaruh yang akan mewarnai cara dia melakukan penyelidikan dan kemudian menulis karya sejarahnya dengan sudut pentafsiran dan analisis yang tersendiri. Kesukaran ini pernah mencetuskan definisi sejarah sendiri daripada seorang sejarawan Jerman, von Ranke[2] dengan manteranya, “wie es eigentlich gewesen”, (semata-mata untuk memaparkan apa yang berlaku). Bagaimanpun ada sejarawan berpendapat jika sejarah hanya catatan mengenai apa yang berlaku pada masa silam maka kajian dan karya sejarah akan menjadi chronicle, senarai peristiwa yang membosankan tanpa sebarang erti apa-apa. Untuk mengelakkan daripada ini maka sejarawan E.H Carr mendefiniskan sejarah sebagai pentafsiran masa silam.[3] Bagaimanapun ini kadangkala membuat karya sejarah menjadi bahan kontroversil apabila berlaku pentafsiran yang mempunyai kecondongan tertentu. Dalam kerangka dan suasana seperti ini pensejarahan Sarawak boleh disoroti juga.

Mitos Brooke dan Great Britain
Negeri Sarawak mempunyai pensejarahan yang agak kaya dari segi kuantiti. Hampir setiap tahun ada saja buku mengenai sejarah Sarawak diterbitkan sama ada di dalam atau luar negeri. Bagaimanapun pensejarahan Sarawak masih mempunyai banyak kelemahan jika disorot dari pelbagai teori dan ide sejarah. Kelemahan yang paling ketara dan yang masih berterusan sejak awal abad ke-20 lagi ialah ketaksuban sejarawan mengenai periode Dinasti Brooke, 1841-1941. Bermula dengan karya biografi mengenai James Brooke, penulisan sejarah kemudian menggunakan penulis upahan seperti Baring-Gould dan C.A Bampfylde. Mereka telah menerbitkan sebuah buku, A History of Sarawak Under Its Two White Rajahs pada tahun 1909.[4] Selepas itu terdapat dua buah buku yang diterbitkan pada tahun 1960 dan telah menjadi seakan-akan buku teks sejarah Sarawak. Yang pertama telah tulis oleh Steven Runciman, The White Rajahs: The History of Sarawak From 1841 to 1941[5] yang dilantik oleh Vyner Brooke dan buku yang kedua ditulis oleh Robert Payne, The White Rajahs of Sarawak[6] yang disokong oleh ahli keluarga Brooke yang bertelingkah, khususnya Bertram dan Anthony. Ketaksuban yang berlanjutan ini terbukti dengan muncul karya Bob Reece, The White Rajahs of Sarawak pada tahun 2005[7] walaupun Dinasti Brooke telah berakhir 64 tahun yang lalu. Di samping itu terdapat beberapa buah lagi buku mengenai dinasti ini.[8]
Ketaksuban ini telah mempengaruhi pemikiran dan pandangan umum, termasuk pelancong yang sekian ramai datang, bahawa seolah-olah Sarawak tidak mempunyai sejarah sebelum kemunculan seorang pemuda Inggeris bernama James Brooke. Buku-buku ini menunjukkan bias dan menafikan kebenaran yang menjadi ukuran pensejarahan seperti Ibn Khaldun.[9] Dalam hal ini penulis-penulis Barat seterusnya gagal memberi periodisasi yang sebenar dan adil kepada sejarah Sarawak yang merupakan ide sejarah yang sangat penting.
Sudah tentu juga James Brooke membawa latarbelakang tamadun Inggeris yang lebih besar dan hebat tanpa menghiraukan Pulau Borneo dan Kepulauan Melayu serta tamadun Melayu. Penulis-penulis ini melihat pembentukan Dinasti Brooke di sebelah timur sebagai percambahan perluasan Barat dalam zaman imperialisme dan mercantilisme mereka. Bob Reece dalam buku yang lebih awal pernah juga mengatakan bahawa Dinasti Brooke merupakan the bastard of British imperialism.[10] Kepincangan dalam penulisan sejarah oleh mereka ini boleh dicemuh sebagai Eurocentric. Mereka seolah-olah menulis “from the deck of the ship, the ramparts of the fortress, the gallery of the trading houses”.[11] Bagi Sarawak pula mereka meninjau dan menulis dari kapal James Brooke, Jolly Bachelor dan kemudian, The Royalist dan kapal perang angkatan laut seperti Dido.
Oleh kerana sudut pandangan Eurocentric begitu tebal penulis-penulis ini menyelitkan pengaruh moral Barat sendiri. Dalam hal ini mereka mentafsirkan James Brooke dan dinastinya sebagai penyelamat, the noble savage dan kononnya cuba menunaikan tanggungjawab mereka, the whitemen’s burden. Jadi mereka menjadi watak utama dalam sejarah atau dramatis personae[12] Bagi mereka orang Melayu dan Dayak sebagai the noble savages yang tidak bertamadun yang harus dididik oleh orang putih. Dengan kecondongan sedemikian seterusnya cuba mempertahankan kebaikan Brooke sebagai benevolent despots dan penentang mereka seperti Sharif Masahor, Rentap, Linggir, Datu Patinggi Hj. Abdul Gafur sebagai lanun dan pemberontak. Baring-Gould dan Bampfylde menemplak satu peristiwa sebagai The Malay Plot atau seperti Robert Pringle menamakan bukunya Rajahs and Rebels: The Ibans of Sarawak Under Brooke Rule, 1841-1941.[13]
Penulis-penulis Barat ini sangat taksub khususnya dengan pengasas dinasti ini, James Brooke. Beliau digambarkan sebagai berani, bijak, penyayang dan suci kerana kekal membujang. Beliau menjadi romantic hero di barat dari dulu hingga sekarang kerana buku-buku popular dan rencana-rencana popular masih diterbitkan.[14] Gambaran yang memaparkan James Brooke sebagai bujang kerana telah tertembak pada bahagian kemaluannya mungkin satu pembohongan besar untuk menutup cerita bahawa beliau adalah seorang homosexual ataupun gay. Bujang melambangkan lelaki suci dan istimewa dan juga merujuk kepada Nabi Isa AS dan ini akan memukau penduduk Sarawak. Malah John Walker membuktikan bahawa ini memang terjadi apabila memetik catatan James Brooke sendiri:
“...they wash my hands and my feet, and afterwards with the water sprinkle their houses and gardens. Then the gold dust, with the white cloth which accompanies it, both of which have been presented by me, is placed in the field.”[15]
James Brooke nampaknya membiarkan saja perilaku ini kerana memperkuatkan pengaruhnya di kalangan penduduk di Sarawak. Ini serasi dengan konsep god-king seperti juga konsep devaraja.[16] Di samping itu juga pendidikan sekular memperlihatkan beliau mempunyai unsur philosopher-king.[17] Semua ini memperkuatkan kepatuhan penduduk dan menghalalkan beliau sebagai raja di kalangan penduduk yang belum celik.
Beliau membesar dikelilingi oleh wanita, iaitu empat orang kakak dan ibu sedangkan ayahnya berkhidmat di India yang menjadikan satu kemungkinan membentuk sikap kewanitaan beliau. James Brooke juga gemar melantik lelaki muda sebagai kakitangan awam di Sarawak. Contohnya ialah Hugh Low dan Spencer St. John dan mereka telah menulis buku di mana mereka turut menulis mengenai kewanitaan James Brooke.[18] Sesungguhnya jika beliau telah cedera di tempat itu maka sudah tentu beliau tidak mempunyai anak haram bernama Reuben George Walker.[19] Sejarawan dari Australia, John Walker telah berjaya menemui sumber memberi implikasi bahawa James Brooke pernah berkahwin dengan adinda saudara Raja Muda Hashim bernama Pengiran Fatikmah yang kemudian melahirkan seorang anak juga.[20]
Sebelum dialog Tong yang dipetik di atas, pengarang menulis demikian:
‘”What about James Brooke?” I asked. ‘He was ....That is he didn’t ....Look....He was’. I couldn’t remember a polite term. In my Indonesianised Malay I would have to call him an orang sakit, a sick person’ I wasn’t going to do that. Then I recalled the punchline of a joke. “Pondan”, I said. Then in English, “It’s obvious he was gay.”

Bila atau Apa?: Merekonstruksi Sejarah
Pada tahun 1988 saya telah membentangkan sebuah kertas kerja dalam seminar yang dianjurkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sarawak berjudul, “Sarawak History: Where Do We Begin?”.[21] Sembilanbelas tahun yang lalu saya mempersoalkan pensejarahan Sarawak yang dimulakan dengan kehadiran James Brooke pada tahun 1841 sebagai tidak benar dalam aspek ide dan kaedah sejarah mengenai periodisasi. Untuk membuktikan bahawa Sarawak mempunyai sejarah lebih awal daripada kehadiran si bujang dari England itu, saya telah berusaha mencari fakta-fakta yang berkaitan. Saya telah memulakan penyelidikan saya dengan menelaah Alamat Zaman Katahtaan Nagari Baruni (AZKNB).[22] Karya sejarah tua ini dalam tulisan Jawi-Melayu Brunei mencatatkan:
“Alkisah peri mengatakan zaman dahulukala di nagari Barunai berugama kafir
pada zaman itu nagari Barunai mengantar upti ka Majapahit satahun satampayan
air pinang muda maka apakala Awang Alak Batatar menjadi raja tiadalah baginda
manghantar upti lagi ka maja patih ratu Majapahit
pun sudah mati dan patih gajah mada pun mati nagari majapahit pun tiada daya ... damikian riwayatnya –
maka Awang Alak Batatar .... dangan Patih Barbai asal raja datang
ghaib .... pengawa jadi pangiran ialah yang sangat gagah barani
pada zamannya itu. Dan pada masa Ratu Malaka di atas karajaan nagari
Juhur Awang Alak Batatar baristeri ka Juhur ialah digalarkan Awang Alak Batatar
ada Seri Sultan Muhamad dan saudaranya Patih Barbai jajdi bendahara
Seri Maharaja Permaisuara digalar dan pengiringnya yang lain itu digalar jadi pangawa dan dianugerahi oleh
Baginda di Juhur empat menteri yang basar2 dan babarapa pagawai dan ngaskar
Dangan ... babarapa dayang2nya dianugerahi nobat nagara ganta alamat sarta
Sakalian alat2 karajaan yang barbagai-bagai dan dianugerahi ...buah nagari iaitu Kalaka dan Saribas dan Rajang dan Sabangan dan Samarahan dan
Sarawak karana di pulau ...Juhur pun mamarintah juga ialah
Dianugerahkan sakali kapada anak baginda manjadi milik sapanjang-panjang rantau itu di bawah
parintah sultan Barunai damikianlah riwajatnya pada zaman dahulukala.” [23]

Petikan di atas ini mengandungi fakta dan makna yang sangat penting mengenai sejarah Sarawak. Penulis karya sejarah awal ini telah memaparkan periodisasi dan ruang dan masa.[24] Fakta utama ialah nama Sarawak dan tarafnya sebagai negeri dan begitu juga yang lain iaitu Kalaka, Saribas, Rajang, Sabangan dan Samarahan yang semuanya pada sautu ketika dahulu adalah negeri-negeri di bawah negeri Johor. Adalah tidak benar sama sekali bahawa nama Sarawak itu berasal dari ungkapan “serah kepada awak [James Brooke]”. Kajian saya selanjutnya menunjukkan bahawa Sarawak, Samarahan, Sadong, Kalaka, Saribas dan Rajang mempunyai fakta-fakta yang cukup lama yang menunujukkan semua ini pernah menjadi pusat petempatan yang tua dan penting. Sumber-sumber arkeologi di Santubong membuktikan Sarawak dan begitu juga di Sadong dan Samarahan. Sumber-sumber China dan Barat membuktikan bahawa Kalaka dan Rajang juga merupakan pusat-pusat petempatan yang lama. Justeru itu sebelum kedatangan si bujang, James Brooke, pantai utara Borneo ini telah mempunyai pusat ketamadunan dalam bentuk beberapa buah negeri.
Satu perkara yang sangat menarik juga ialah hubungan dengan empayar besar Majapahit, Barunai dan Melaka-Johor. Perihalan yang diberikan oleh penulis AZKNB tentang hubungan ini melengkapkan gambaran besar tentang entiti sosio-politik Kepulauan Melayu. Inilah makna sejarah yang lebih besar yang harus diperbaharui. Walaupun ada golongan sarjana yang ingin menafikan kewujudan dan kesejarahan gagasan Kepulauan Melayu seperti apabila mereka membahaskan Kemelayuan atau istilah yang mereka gunakan, Malayness, namun sejarah adalah kebenaran yang tidak boleh dipadamkan dari dunia.[25] Kesilapan mereka ini ialah meneropong Kepulauan Melayu ini seperti nation-state, satu bangsa-satu negara dan yang kononnya telah mejadi sebuah masyarakat yang homogenous dan budaya yang monolitik, mereka akan menjadi bingung dan dapat membuat satu rumusan sesuai dengan teori yang mereka pelajari.
Mungkin sebuah karya sejarah tulisan Fernand Braudel mengenai sejarah persekitaran Laut Mediterranean yang melihat dalam aspek cultural zones boleh memperbaharui makna lama berasaskan pada ruang dan masa Kepulauan Melayu yang begitu luas.[26] Pemikiran seperti ini rupanya pernah dicetuskan oleh Mohd Ariff dan Lombard pada tahun 1997 bahawa Kepulauan Melayu mirip kepada alam persekitaran Luatan Mediterranean dan menamakannya Mediterranean of the Orient.[27] Di samping itu juga sejarawan purba terkemuka, George Coedes dan sejarawan Asis Tenggara, D.G. Hall pernah mengolongkan Kepuluan Melayu sebagai the Indianized States.[28] Oleh yang demikian semenjak zaman purba lagi Kepuluan Melayu telah ditafsirkan sebagai sebuah ruang dan masa yang mempunyai identiti Kemelayuan. Dalam perjalanan masa yang lama dan ruang yang besar itu mungkin makna dan pentafsiran menggunakan zon budaya akan memperbaharui makna pensejarahan lama.
Kepulauan Melayu yang sangat luas yang terdiri dari ribuan pulau-pulau dan semenanjung mungkin boleh dibahagikan kepada beberapa zon budaya sebagai kerangka memahami dinamika rumpun Melayu. Kerangka tersebut mungkin boleh dicadangkan seperti berikut: 1. Zon Persekitaran Selat Melaka, 2. Zon Jawa, 3. Zon Borneo, 4. Zon Sulawesi dan 5. Zon Philippines. Dalam perjalanan masa sejarah sesebuah zon telah menjadi unggul dan menundukkan yang lain dan menjadi pusat utama yang meneruskan dan menyemarakan tamadun Melayu. Sumber tertua ialah di Zon Borneo di mana muncul Kerajaan Kutai bertarikh 450 M. Bagaimanapun nampaknya Sriwijaya bertarikh 670 M di Zon Persekitaran Selat Melaka yang berjaya menjadi unggul dan semarak hingga menjadi sebuah empayar Melayu yang pertama meliputi Semenanjung. Pada zaman inilah nama Melayu terawal sekali dicatat oleh jurutulis China di samping Batu Bersurat Kedudukan Bukit. Palembang yang dikatakan sebagai pusat Sriwijaya, kadangkala ada juga sejarawan meletakannya di pantai utara Borneo, sangat tersohor sebagai pusat pelabuhan dan agama. Keunggulan empayar Sriwijaya berlanjutan sehingga runtuh pada abad keduabelas akibat serangan dari Chola di India dan Majapahit di Jawa.
Majapahit dari Zon Jawa bangkit dan menjadi unggul di Kepualaun Melayu. Empayar Majapahit meliputi seluruh Zon Persekitaran Selat Melaka dan Zon Borneo. Jika dibandingkan Majapahit adalah empayar yang terunggul dan menjadi ingatkan penulis-penulis sejarah awal dalam bentuk syair, hikayat dan silsilah. Pemimpinnya yang terhebat ialah Patih Gajah Mada dan perjuangan beliau disemadikan dalam Sumpah Palapa:
“Lamun huwus kalah nusantara ingsun amukti palapa ...”
“Aku tidak akan makan buah palapa kegemaranku
sehingga aku menyatukan Nusantara.”
Dalam kitab karangan jurutulis Majapahit, Prapanca berjudul Negarakartagama ada disebutkan takluk empayar ini meliputi Sawaku yang besar kemungkinan Sarawak dan Bruneng yang ditafsir sebagai Brunei. Terbukti juga kehebatan Majapahit dan Gajah Mada dalam silsilah raja-raja Brunei di mana ufti yang terpaksa dihantar ke Jawa ialah setampayan air pinang muda.[29] Kesan keunggulan Majapahit sangat besar dan mendalam dalam kebudayan di Zon Borneo. Hikayat Datu Merpati Jepang meriwayatkann pembentukan kerajaan Sarawak yang berpusat di Santubong dengan kehadiran Raja Jarum dari Jawa. Sumber arkeologi yang banyak bertarikh dari abad ke-10 hingga ke-13 adalah fakta tentang tamadun di Santubong dan kebesarannya telah melahirkan Lagenda Puteri Santubong.[30] Nama gelaran seperti Patinggi, Pangeran, Awang dan lain-lain yang berbau Hindu-India adalah peninggalan pengaruh empayar Majapahit.
Kerajaan Brunei kemudian berjaya membina kekuatan dan empayar tersendiri terlepas dari naungan Majapahit seperti yang terdapat dalam perisitwa sabung ayam dalam Syair Awang Samaun yang menunjukkan kemenangan kepada Brunei. Brunei telah membentuk empayar yang meliputi seluruh Pulau Borneo dan Philippines. Walaupun kerajaan Brunei telah wujud sejak abad kesepuluh apabila disebut dalam riwayat China sebagai Po-ni tetapi kegemilangannya mungkin bermula pada abad ke-14 hingga abad ke-16.
Empayar Majapahit telah digantikan oleh Empayar Melaka dari Zon Persekitaran Selat Melaka pada abad ke-15. Bagaimanapun keadaan mulai berubah kerana kerajaan-kerajaan di Kepulauan Melayu telah menjadi maju, kuat dan mempunyai kepintaran membentuk sistem pemerintahan lengkap dengan undang-undang bertulis. Empayar Melaka mewariskan kebudayan baru dengan agama Islam-Arab yang menjadi arus utama mengantikan budaya Hindu-India. Agama-budaya baru ini tersebar ke seluruh Kepulauan Melayu bersama negeri kesultanan yang semakin bercambah.
Sarawak adalah salah sebuah negeri ketika itu. Entah bagaimana pula dalam perjalanan masa sejarah, Sarawak berada di bawah empayar Johor[-Riau] bersama yang lain. Oleh itu mungkin kerana faktor ini ratusan tahun kemudain Sultan Tengah telah pergi ke Johor pada abad ke-17.[31] Dalam pengembaraannya Sultan Tengah telah berbuat sebuah negeri bernama Sambas yang boleh dikatakan tidak jauh dari Sarawak dari segi geografis mahupun budayanya. Baginda mempunyai isteri dan beberapa orang putera-puteri dan tinggal di sana agak lama. Pada satu hari baginda akhir teringin pulang ke Sarawak tetapi telah dibunuh oleh pengayuhnya sendiri dan dimakamkan di kaki Gunung Santubong. Sarawak kembali dinaungi oleh kesultanan Brunei sehinggalah kemunculan si bujang, James Brooke dari England yang menjadi raja pada tahun 1841.


Rumusan dan Kesimpulan
Sarawak mempunyai sejarah yang lebih lama sebelum kehadiran James Brooke. Sejarah yang lama itu telah diwarnai oleh tamadun yang telah ada dalam ruang dan masa di Kepuluan Melayu. Penduduk dan kerajaan di kepulauan ini mempunyai ciri-ciri kesamaan kerana wujudnya zon-zon sosio-politik. Empayar-empayar telah muncul, berkembang dan runtuh silih berganti menjadikan Kepulauan Melayu ini begitu dinamik dan tidak pernah tunduk. Di dalam ruang dan masa Kepulauan Melayu ini telah membangkitkan tamadun yang dibina oleh Sriwijaya, Majapahit, Melaka, Brunei dan Johor-Riau dan Pulau Borneo serta Sarawak adalah sebahagian dari keunggulan tersebut yang mewarnai masa silam Sarawak. Pensejarahan dengan memperbaharui makna lama ini kita akan lebih mudah memamaparkan sejarah Sarawak dengan lebih tepat lagi.
Memperbaharui makna lama dalam pensejarahan Sarawak bermaksud kita akan menolak banyak pembohongan dengan James Brooke yang memulakan dinasti Inggeris ini. Sejarawan-sejarawan Barat sejak sekian lama sehingga ke hari ini bersikap Euro-centric dan taksub dengan James Brooke. Sikap bias yang dipengaruhi oleh sistem moral dan nilai Barat telah berjaya mencipta si bujang , James Brooke seorang yang sempurna dan mempunyai ciri-ciri kenabian untuk memperalatkan the noble savage di kalangan pemimpin dan penduduk bumi Sarawak di samping untuk memuaskan nafsu perluasan dan kekuasan imperialisme dan mercantilisme Inggeris. Pensejarahan seperti ini tidak menepati ide objektiviti dan bercanggah dengan definisi sejarah sebagai kebenaran. Banyak fakta yang tidak ditulis dalam buku sejarah pada masa ini. Ini adalah pembohongan yang merupakan pantang-larang dalam penulisan sejarah. Sebaliknya seperti kebijaksanaan penulis silsilah dan hikayat melihat sejarah kita yang lebih tua dan besar dan dengan yang demikian mungkin kita akan memperbaharui makna lama dalam menulis semula sejarah Sarawak.
ª Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Sejarah Sarawak: Menyelusuri Sejarah, 2-3 September 2006, Merdeka Hotel, Kuching.
[1] Nigel Barley, The White Rajah: A Biography of Sir James Brooke, Little, Brown, London, 2002. Barley is a curator in the Ethnography Department, British Museum.
[2] Leopold von Ranke, History of the Reformation in Germany, (terjemahan),Routledge, London, 1905
[3] E.H. Carr, What Is History, Penguin Books, Middlesex, 1961.
[4] Bamphlye and Baring-Gould, A History of Sarawak Under the Rule of the White Rajahs, 1908
[5] Steven Runciman, The White Rajahs: The History of Sarawak From 1841 to 1941, Cambridge University Press, Cambridge, 1960.
[6] Robert Payne, The White Rajahs of Sarawak, Funk and Wagnall, New York, 1960.
[7] Bob Reece, The White Rajahs of Sarawak: A Borneo Dynasty, Archipelago Press, Singapore, 2004
[8] Nigel Barley, White Rajah: A Biography of Sir James Brooke, Little Brown, London, 2002
[9] Ibn Khaldun yang dinobatkan sebagai bapa sejarah moden dunia mendefinisikan sejarah sebagai kebenaran, lihat Ibn Khaldun, Mukadimmah, terj. Rosenthal, 1958
[10] Lihat Robert Reece, The Name Brooke: The End of White Rajah Rule in Sarawak, OUP, Kuala Lumpur, 1982.
[11] J.C. Van Leur, Indonesian Trade and Society, The Hague, 1955
[12] Sartono Kartodirdjo, Indonesian Historiography, Penerbit Kanisius, Yogjakarta, 2001.
[13] Robert Pringle, Rajahs and Rebels: The Ibans of Sarawak Under Brooke Rule, 1841-1941, MacMillan, London, 1970. Bagaimanapun buku ini mendapat sanjungan para sarjana kerana mempunyai sudut pandangan rakyat yang tertindas, mungkin pendekatan Marxian. Satu contoh yang menarik juga ialah George Rude, The Crowd in History: A Study of Popular Disturbances in France and England, 1730-1848, Serif London, Kuala Lumpur,1999. Pertama terbit 1964.
[14] Contohnya C. Pybus, The White Rajahs of Sarawak: Dynastic Intrigue and the Forgotten Canadian Heir, Douglas and McIntyre, Vancouver, 1996; Pauline Hemery, Emma and the White Rajahs of Dartmoor,; Dalam Bahasa Perancis, contohnya, Halsgrove, Trowbridge, UK, 2002; lihat Lionel Crooson, “Les Rajahs blancs de Borneo”, Historia, September 2005, ms. 38-43, Paris dan sering berada di Kuching selama berbulan-bulan menulis sebuah buku mengenai Brooke.
[15] John Walker, Power and Prowess: The Origins of Brooke Kingship in Sarawak, Allen & Unwin, Sydney, 2002, ms. 63.
[16] Lihat Herman Kulke, “ The Early and the Imperial Kingdom in Southeast Asian History” dlm. David . Marr and A.C Milner (ed.), Southeast Asia in the 9th to 14th Centuries, Research School of Pacific Studies, Australian National University, Institute of Southeast Asian Studies, Singapore, 1986, ms. 1-22.

[17] Lihat Dankwart Rustow, Philosophers and Kings: Studies in Leadership, George Braziller, NY,1970.
[18] Hugh Low, Sarawak: Its Inhabitants and Productions; Being Notes During a Residence in that Country with H.H. The Rajah Brooke, pertama 1848, 1988; Spenser St. John, Life in the Forest of the Far East, pertama 1862.
[19] Bob Reece, The White Rajahs
[20] Lihat John Walker, opcit. Charles Brooke, anak saudara beliau yang menjadi Rajah Kedua, mempunyai dua orang anak luar nikah dengan gadis Melayu semasa mentadbir Simanggang yang kemudian dinyahkan ke Kanada.
[21] Sanib bin Said, “Sarawak History: Where Do We Begin?”, SAWAKU, Jurnal PSMCS, 1990
[22] Naskah ini adalah dari Jabatan Muzium Sarawak, salinan diperolehi pada tahun 1988 dan telah saya lakukan transliterasi.
[23] Ibid., ms.2, baris 1-19.
[24] Ini adalah konsep space and time di mana space merujuk kepada tempat dan time pula merujuk kepada bila peristiwa berlaku.
[25] Lihat Timonthy P. Banard (ed.), Contesting Malayness: MalayIdentity Across Boundaries, Singapore University Press & Ridge Books, Singapore, 2002.
[26] Fernand Braudel, The Mediterranean and the Mediterranean World in the Age of Philip II, vol.2, terjemahan Bahasa Inggeris, 1995; asal dalam Bahasa Perancis, Mediterranee et le monde meiterraneen a l’epoque de Philippe, 1949. Buku ini dianggap sebagai sebuah karya agung sejarah pada abad ini. Beliau digolongkan sebagai ahli falsafah sejarah yang dikenali sebagai Annales. Saya telah menggunakan istilah socio-political area dalam sebuah artikel, “Sarawak History: Where Do We Begin?”, Sarawak Museum Journal. Konsep ini telah menjadi jelas hasil perbincangan dengan Prof. Abdul Halim Ali, Kursi Nusantara, UNIMAS, 2006.
[27] Mohd. Ariff bin Yusof dan D. Lombard, Cultures in Contact, KKKPM dan EFEO, Kuala Lumpur, 1997 yang telah dipetik oleh Hanapi Dollah, ‘Warisan Kebudayaan Kerajaan Melayu di Pulau Borneo”, kertas kerja, Bengkel Kajian Naskah Kesultanan Melayu VII, 22-24 Ogos 2006, Kuching.
[28] G. Coedes, The Indianized States of Southeast Asia, OUP, Kuala Lumpur, dan D.G Hall, Sejarah Asia Tenggara, terjemahan, DBP, 1974, cetakan kelima 1984.
[29] Ada pendapat mentafsirkan air pinang ini adalah untuk pewarna batik. Sebenarnya sehingga sekarang buah pinang merupakan sumber perwarna.
[30] Muzium Sarawak telah membuat kajian arkeologi pada tahun 195an. Santubong bukan dari perkataan China yang bermaksud babi hutan
[31] Sultan Brunei telah melantik anak baginda menjadi Sultan Tengah bagi jajahan Sarawak pada abda ke-17. Baginda digelar sultan pertama dan terakhir Sarawak. Lihat Perhin Datu Seri Utama Dr. Hj. Mohd. Jamil Al-Sufri, Sultan Tengah: Sultan Sarawak Pertama dan Terakhir, Pusat Sejarah, 1995.

1 comment:

Saiee Driss said...

Sebuah makalah yang informatif, selayaknya disiarkan di laman UMM.