Sunday, May 04, 2008

KONGRES PERMUAFAKATAN MELAYU: MENDAULATKAN PERLEMBAGAAN


Hampir 2000 orang Melayu telah menghadiri Kongres Permuafakatan Melayu yang berlangsung dari 2 hingga 4 Mei di Johor Bahru.  Mereka adalah wakil dari 195 buah pertubuhan Melayu dari seluruh negara yang dianjurkan oleh Gabungan Penulis Nasional (GAPENA).  Perasmian kongres ini menampilkan Ketua 1 GAPENA,  Tan Sri Professor Emeritus (Dr.) Ismail Hussein yang juga tokoh aktivis Melayu yang ulung.

Ismail berkata jika bangsa Melayu tidak berbuat apa-apa terhadap keadaan yang melanda negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 maka bangsa ini adalah bangsa dungu dan malas berfikir.

Sebelum itu empat buah kertas kerja telah dibentangkan sepanjang petang hari Jumaat seperti berikut: 1) "Kedaulatan Politik Melayu" oleh Dr. Mohamad Agus Yusoff; 2)  "Kedaulatan Perlembagaan Malaysia" oleh Tan Sri Abdul Rahman Aziz; 3)  "Kedaulatan Ekonomi Melayu" oleh Tan Sri Dato Muhamad Ali Hashim dan 4) "Kedaulatan Agama, Kebudayaan dan Pendidikan Melayu" oleh Datuk Dr. Zainal Kling.

Secara umumnya hampir semua kertas kerja berlandaskan Perlembagaan Malaysia.  Kongres menuntut Kerajaan, parti politik dan warganegara Malaysia menjunjung perlembagaan sebagai undang-undang utama negara Malaysia.  Dalam hal ini maka semua pihak wajib menghormati, mematuhi dan melaksanakan hak-hak Melayu yang telah dipersetujui oleh semua kaum dan warganegara dan diluluskan oleh Parlimen.  Duli Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dengan kuasa-kuasa yang ada dalam Perlembagaan harus dijunjung dan dihormati.  Ketuanan dan kedaulatan Melayu dalam Perkara 152 mengenai kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi mestilah laksanakan dalam dasar dan peraturan sistem pelajaran dan pendidikan.  Perkara 153 mengenai Keistimewaan Melayu dan Bumiputera mestilah dipatuhi dan dilaksanakan seperti dalam Dasar Ekonomi Baru.

Kedaulatan Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, Bahasa Melayu dan Hak Istimewa Melayu dan  Bumiputeraseperti dalam Perlembagaan Malaysia tidak boleh dipersoalkan lagi. Mereka yang memperlekeh dan mempersoalkan semua ini mesti menerima padahnya dari segi undang-undang negara.

Kongres ini akan mendesak Kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya.  Desakan akan dibuat sehingga Perlembagaan Malaysia diperkasakan termasuklah menubuhkan sebuah badan yang akan melakukan ini supaya kedaulatan dan ketuanan Melayu berada di tempat yang sepatutnya dalam negara-bangsa yang berpaksikan bangsa Melayu.  Para perwakilan telah mencurahkan buah fikiran dan emosi dalam berbagai cara termasuklah berpantun, bergurinfam dan berpuisi.

Hampir semua perwakilan berasa kecewa dengan pemimpin dan parti politik Melayu yang dikatakan tidak mahu mendengar rintihan dan buah fikiran para cendiakawan, penjaja, ahli perniagaan berbeza dengan pemimpin dan parti politik kaum lain.  Satu daripada sifat kepimpinan yang terpuji adalah bersedia untuk mendengar.

Kongres akan diteruskan pada 4 Mei dengan pembentangan resolusi-resolusi.





No comments: