Sunday, April 25, 2010

Parlimen Ambil Tindakan Tegas

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Rujuk Anwar ke jawatankuasa bukti BN adil

HULU SELANGOR 24 April - Keputusan Dewan Rakyat untuk merujuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen membuktikan Barisan Nasional (BN) bersikap adil terhadap semua pihak termasuk pemimpin pembangkang.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan Anwar mengeluarkan kenyataan mengelirukan yang mengaitkan gagasan 1Malaysia dengan sebuah syarikat perhubungan awam yang didakwanya mempunyai kaitan dengan Israel merupakan dakwaan serius dan tidak berasas.

Perdana Menteri berkata, BN boleh menggunakan kuasa majoriti di Dewan Rakyat untuk terus menghukum dan menggantung keanggotaan Anwar tetapi tidak melaksanakan langkah sedemikian.

''Kalau kita (BN) gunakan kuasa majoriti, kita boleh terus hukum Anwar dan gantung keanggotaannya, tetapi kita tak guna jalan tersebut sebaliknya beri peluang untuk dia membela diri, mengeluarkan sebarang hujah dan selepas itu dia akan ditentukan dan diadili oleh jawatankuasa berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program sarapan 1Malaysia bersama Perdana Menteri di Kampung Gumut Tambahan, Kalumpang di sini hari ini.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menghadapkan Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan yang mengaitkan gagasan 1Malaysia dengan sebuah syarikat perhubungan awam yang didakwanya mempunyai kaitan dengan Israel.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee memutuskan demikian secara undian suara setelah ahli-ahli Parlimen pembangkang berkeras enggan mendengar penggulungan usul itu yang sepatutnya dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, sebaliknya mendesak agar ia ditarik balik.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, BN tidak sesekali akan masuk campur dalam perkara tersebut dan biarlah jawatankuasa berkenaan meneliti secara mendalam mengenai dakwaan Anwar itu.

''Kini terserah kepada jawatankuasa berkenaan untuk meneliti dan membuat keputusan mengenai dakwaan Ketua Pembangkang itu," katanya.


No comments: