Friday, April 18, 2008

#2 UMNO Sudah Jadi Parti Tauke?

Semalam saya makan tengah hari bersama seorang profesor dari UMM dan terus mengajukan buah fikiran hari ini mengenai UMNO telah menjadi sebuah parti tauke.  Perubahan ini mungkin salah satu faktor mengapa UMNO kehilangan undi yang agak banyak dalam pilihan raya yang lalu; bukan kalah keseluruhannya hanya kalah di 5 negeri dan masih menang parlimen.  Sahabat saya mengatakan UMNO telah ditubuhkan oleh rakyat jelata, pekerja biasa, petani, nelayan, guru dan sedikit professional.  Mereka ini mengeluarkan duit sendiri dan mengutip derma sendiri untuk memperjuangkan politik Melayu selepas Perang Dunia Kedua.

Tetapi kini UMNO telah menjadi parti tauke, parti orang bisnis dan orang kaya.  Sekurang-kurangnya mereka menguasai parti dari peringkat kampung hingga di peringkat pusat. Mungkin ada niat turun bersama rakyat tetapi tidak ada masa untuk melaksanakannya.  Sibuk bisnis.  MCA cuba menyelesaikan masalah imej tauke ini dengan menubuhkan Khidmat Aduan Awam yang sering mendapat tempat dalam akhbar, termasuklah orang Melayu yang minta bantuan.  Mana UMNO?  Langkah ini telah memberi gambaran yang MCA berjiwa rakyat. Begitu juga dengan program Langkawi.

Imej tauke ini mungkin terpapar apabila ada cerita mengatakan banyak calon UMNO tiba-tiba muncul di kampung-kampung dengan dengan kereta Mercedes, Porsche, Ferrari, Lexus dan sebagainya. Seorang penulis pojok dalam sebuah akhbar nasional ada menyebut kisah ini yang berlaku di Kelantan.  Baguslah Melayu kaya dalam pemikiran logik tetapi imej kaya ini mungkin jurang pemisah dan pertembungan kelas dalam masyarakat Melayu baru.  Wallahu alam.

No comments: